Sunday, September 21, 2008

Ulasan buku dan kitab

Saya telah lama bercita-cita untuk membuka blog berkenaan buku dan kitab yang sedang atau telah dibaca yang berada dalam pustaka mini di rumah. Cita-cita ini dikuatkan lagi apabila terjumpanya blog blogger yang rajin membicarakan mengenai buku yang mereka baca.

Koleksi buku yang berada dalam pustaka mini itu telah mencecah lebih 500 buah. Kategori yang paling banyak ialah buku atau kitab agama Islam.

Sekarang ini saya sedang kembali membaca Kitab Tafsir Al Athir karangan Ustaz Sonhadji dari Singapura. Harga setiap Juz Tafsir ialah RM10.00 dan sekarang sudah sukar untuk jumpa kitab tafsir bentuk ini. Mungkin tidak diterbitkan lagi. Tetapi sudah ada terbitan baru yang berharga RM20 lebih di pasaran. Juz tafsir yang belum ada dalam koleksi saya ialah Juz 6,11,12,15,25,26 dan 28.

Banyak cerita menarik yang saya jumpa semasa menekuni kitab ini. Antaranya, baru-baru ini diceritakan mengenai malaikat yang berada di sekeliling manusia. Tugas malaikat ini ialah untuk menjaga keselamatan manusia dan juga mencatat amalan baik-buruk yang dilakukannya. Nanti saya cuba catatkan diposting yang lain.

Tujuan utama saya membeli dan membaca buku atau kitab ialah untuk memotivasikan diri. Sebagai contoh, dibulan puasa ini bagi mengekalkan motivasi untuk istiqamah dalam membaca al-quran maka kitab tafsir, ulum-Quran dan buku lain yang berkaitan akan kembali dibaca dan dicari di pasaran. Kitab Cara Mudah Memahami al-Quran akan saya beli dalam masa terdekat untuk menguatkan motivasi diri untuk mengisi hari sepuluh akhir Ramadan ini dengan khatam Quran.

Juga, saya pernah membeli buku khusus untuk menguatkan keyakinan diri bagi menghadapi temuduga pekerjaan sebelum ini.

Moga dengan adanya blog ini dapatlah saya mengulangkaji dan mencatatkan ringkasan buku-buku yang ada dalam pustaka mini saya dan juga buku baru yang menjadi koleksi terkini.

Semoga sama-sama kita mendapat manfaatnya. Amin Ya Rabbala'lamin.

No comments: